Panggung Seni Tradisional kembali dengan Tala Natyam - The Dance Journey
Amiera Solihan
Diterbitkan:  May 28, 2023 4:19 PM    Dikemaskini: 4:19 PM
 

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) terus komited dalam menyemarakkan dan memartabatkan seni budaya menerusi Panggung Seni Tradisional 2023 (PST2023).

PST 2023 membuka tirai menerusi acara Tarinspirasi Dendang Rakyat oleh kumpulan Genius Seni Tari pada 10 dan 11 Mac lalu.

Siri kedua pula berlangsung pada Jumaat dan Sabtu lalu, dengan tarian klasik India, Tala Natyam - The Dance Journey yang dipersembahkan kumpulan Angika Fine Arts di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) di Kuala Lumpur.

Menurut JKKN, persembahan itu menyajikan gabungan tarian klasik India dengan pelbagai segmen bentuk tarian tradisional merangkumi beberapa genre yang memang dikenali di negara ini, seperti Odissi, Bharatanatyam, Kuchipudi dan Mohiniattam.

 

Selain Angika Fine Arts, persembahan yang melibatkan 60 penari berusia seawal lima hingga 45 tahun itu turut dijayakan oleh Vehaara Arts dan Telugu Association of Malaysia (TAM).

Ketika ditemui selepas acara, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar dan Perancangan) JKKN Mohd Amran Mohd Haris berkata PST 2023 menyediakan platform kepada penggiat seni tradisional untuk berkarya.

“Dengan adanya panggung seni tradisional ini, kita mengangkat banyak kesenian-kesenian tradisional yang tidak begitu diketahui oleh masyarakat umum di Malaysia.

Mohd Amran Mohd Haris

“Program ini bukan hanya satu kesenian sahaja, tapi kami buka untuk pelbagai kaum dan sejak penganjurannya bermula pada tahun 2011, memang dapat sambutan yang menggalakkan,” katanya.

Pengarah persembahan Tala Natyam - The Dance Journey, Lawrence Sackris pula berkata dia gembira apabila persembahan itu mendapat sokongan daripada penonton yang menghargai seni dan budaya.

“Sambutan yang menggalakkan daripada penonton malam ini apabila dewan hampir penuh dan tiket untuk esok (27 Mei) habis dijual,” katanya.